NASIHAT menasihati dan berpesan ke arah kebaikan sudah menjadi budaya hidup manusia. Namun, dalam Islam, nasihat memang tidak dapat dipisahkan daripada ajarannya kerana Islam adalah al-Din yang bercirikan nasihat.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Maka sahabat pun bertanya: Kepada siapa? Jawab Baginda: Kepada Allah, kepada Kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada pemimpin kaum muslimin dan juga orang awam muslimin.” (Hadis riwayat Muslim)
“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-’Asr, ayat 1-3)
Maksud ayat suci itu menyimpulkan antara ciri orang yang beriman kepada Allah ialah sentiasa berpesan atau nasihat-menasihat ke arah kebaikan dan kesejahteraan.
Tidak dapat dinafikan, manusia tidak boleh hidup bersendirian, jauh daripada kelompok masyarakat ramai. Justeru, hidup bermasyarakat menjamin kerukunan dan keharmonian sejagat. Untuk itu, nasihat menasihat sewajarnya dijulang supaya yang benar dan hak dapat dijunjung tinggi bersama, sementara yang salah dan batil pula sama-sama dijauhi.
Demikianlah hidup bermasyarakat yang seiring jalan sejajar pepatah orang tua ‘duduk seorang bersempit-sempit, duduk ramai berlapang-lapang. Maka, terserlah Islam adalah agama nasihat dan seluruh ruang lingkup Islam adalah nasihat.
Bagaimanapun, ada segelintir manusia yang melenting atau marah apabila diberi nasihat dengan alasan dia insan bijak dan pandai dalam segala bidang. Sedangkan, manusia dengan kesempurnaan kejadiannya dan keistimewaannya, selamanya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan serta kesalahan kerana itu sifat semula yang diciptakan Allah.
Justeru, setiap insan berhajatkan kepada nasihat untuk kembali kepada landasan yang benar dan insaf dengan kekerdilan serta kedaifan manusia itu sendiri di hadapan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment